KAHERAH: Negara-negara kuasa besar perlu menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang antarabangsa sekiranya Israel tidak bersetuju dengan cadangan genjatan senjata terbaharu yang telah dipersetujui pejuang Hamas pada Isnin.

Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid, Israel perlu faham bahawa persetujuan Hamas terhadap gencatan senjata terbaharu itu menunjukkan rejim Zionis itu tidak boleh meneruskan operasinya kerana strategi mereka sudah tidak berkesan dan salah.

“Jika dia (Israel) respons bahawa kami tidak peduli dan teruskan operasi ketenteraan, seharusnya sekutu dan negara-negara yang menyokong mereka selama ini membuat kata muktamad untuk mengenakan hukuman mengikut pelbagai lunas perundangan antarabangsa yang selama ini dicabuli oleh Zionis.

“Kita ada pelbagai undang-undang antarabangsa melibatkan kemanusiaan, genosid dan banyak lagi. Jadi, sekarang perlu ada keputusan yang tegas untuk menguatkuasakannya terhadap Israel yang merasakan diri mereka itu kalis undang-undang tersebut.

“Maka, negara kuasa besar dan dunia perlu membuat keputusan bahawa sekaranglah masa untuk menguatkuasakannya sekiranya Israel terus berdegil tidak menerima gencatan senjata yang dipersetujui Hamas.

"Malah, sekatan juga boleh dilaksanakan untuk memberi tekanan terhadap mereka,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.

Terdahulu, Ketua Hamas Ismail Haniyeh mengeluarkan kenyataan menyatakan persetujuan terhadap cadangan gencatan senjata yang dikendalikan pengantara Mesir dan Qatar, sekali gus menghidupkan peluang untuk menamatkan peperangan di Gaza.

Bagaimanapun, Israel masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu namun beberapa media negara itu melaporkan bahawa rejim Zionis itu masih sedang meneliti persetujuan yang telah dikemukakan Hamas.

Pada awal pagi Selasa, Israel dilaporkan menyerang Rafah iaitu kawasan yang menjadi tempat perlindungan terakhir 1.5 juta rakyat Palestin, sekali gus berisiko menjejaskan rundingan gencatan senjata tersebut.

Sementara itu, Mohd Azmi yang juga dikenali sebagai Cikgu Azmi berkata, konsep gencatan senjata itu haruslah kedua-dua belah pihak menghentikan segala operasi ketenteraan dan meredakan ketegangan.

“Ia harus menjadi titik tolak untuk melaksanakan gencatan senjata secara menyeluruh dan tidak ada pihak yang mencabulinya sepanjang tempoh yang dipersetujui.

“Saya fikir Hamas telah membuat perkiraan yang mendalam terhadap kesan peperangan yang berlarutan selama lapan bulan terhadap rakyat Gaza. Mungkin itu sebab mereka menerima cadangan gencatan senjata diutarakan Mesir dan Qatar.

“Hamas telah merasionalisasikan cadangan itu untuk memberi ruang kepada rakyatnya yang ketika ini hidup dalam keadaan tidak menentu. Mungkin atas sebab itu juga, Hamas menerima cadangan gencatan senjata yang merangkumi beberapa fasa itu,” ujarnya.

Mohd Azmi menambah, Israel seharusnya faham bahawa Hamas telah memberitahu dunia mereka bersedia melaksanakan gencatan senjata dan menghentikan ketegangan supaya Gaza boleh kembali membina semula kehidupan normal.

Peperangan di Gaza telah menyebabkan lebih 34,000 rakyat Palestin syahid akibat pengeboman dan keganasan Zionis Israel sejak 7 Oktober lalu.

Ketika ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan kebuluran telah berlaku di utara Gaza akibat daripada ketiadaan laluan selamat untuk kemasukan trak bantuan kemanusiaan.